Namaku lalat. Aku berasal dari spesis Musca Domestica
atau Lalat Rumah dari keluarga Diptera iaitu serangga yang mempunyai dua sayap.
Aku adalah antara 1.5 juta spesis lalat yang berterbangan di seluruh dunia.
Hari ini genap usia ku 8 hari. Dalam kehidupan seekor
lalat, pada usia sebegini aku sudah dianggap dewasa. Sudah bujang trang
tangtang. Aku menamatkan sekolah rendah pada usia ku 2 hari dan sekolah
menengah pada usia 4 hari. Dan 2 hari kelmarin, aku baru sahaja dianugerahkan
dengan Ijazah Sarjana Muda Makanan dan Sampah Sarap. Tak ada pun konvokesyen
pakai jubah baling2 topi, cuma ambil ijazah di tepi tong sampah sahaja.
Malam tadi, semasa aku berterbangan mencari sesedut
makanan, aku singgah sebentar di lorong belakang sebuah bangunan. Ternampak
seorang perempuan yang cantik. Bergaya dan seksi sekali. Memakai baju ketat di
tubuh badan dan mendedahkan sebahagian dada nya. Aku berehat sebentar di atas
bahunya kerana penat berterbangan tanpa hala tuju. Malangnya aku dihalau dengan
libasan tangan sambil mulutnya memaki hamun aku.
“Celaka punya lalat ! Aku bukan main cantik macam ni pun
kau nak hinggap ke!”, jerkah perempuan itu.
Aku dihina sebegitu rupa seolah-olah aku adalah seekor
binatang. Aku bukan binatang, aku adalah serangga. Walaupun aku dituduh sebagai
pembawa penyakit dan virus merbahaya tetapi bukan kah itu lumrah diriku. Bukan
ku pinta dilahirkan kotor sebegini. Seberapa ketika kemudian aku melihat
perempuan itu dipimpin masuk oleh seorang lelaki ke dalam bilik belakang
bangunan. Sekotor-kotor aku, engkau lebih kotor!
Aku meninggalkan kawasan kotor itu dengan perasaan campur
baur di dalam hati. Aku terbang lagi mengembara di atas bumi Tuhan ini. Aku
sekadar ingin mencari rezeki dari rezeki yang kamu buang dan humban ke dalam
tong sampah. Hinakah aku? Rezeki yang Tuhan beri kepada kamu, kamu bazirkan dan
kamu berikan kepada aku. Siapa yang lebih hina? Aku tidak pernah sia-siakan
sisa-sisa rezeki kamu. Kalau banyak, aku panggil kawan-kawan ku, kami
berkenduri di situ. Sekurang-kurangnya aku menyapu-nyapu tangan ku sebelum
menjamah makananmu, tidak seperti kebanyakan kalian yang langsung tidak
membasuh tangan.
Bunyi bising hon kenderaan di jalan menghentikan lamunan ku, aku teruskan perjalanan ku
lagi. Terbang melata mencari sisa-sisa makanan. Aku singgah sebentar di sebuah
tong sampah belakang sebuah rumah. Deria rasa pada kaki-kakiku memberitahu
sesuatu. Ada banyak makanan. Ada juga yang masih elok untuk dimakan oleh
kalian. Tapi kalian buang. Alhamdulillah. Sudah rezeki aku.
Ketika makan, mata lalatku terlihat pada sehelai keratan akhbar.
Walaupun kabur, masih mampu ku baca sebaris dua. Isi beritanya memualkan aku. Remaja
dirogol rakan, bapa bunuh anak,bayi diculik, rasuah berleluasa etc. Cerita hampir
sama ku baca sepanjang hayat ku 8 hari ini. Selera makan aku terpadam. Dalam masyarakat
aku tak ada berita-berita tu semua. Apa yang aku biasa dengar hanyalah berita
kematian lalat yang dipukul dengan sadis sehingga terburai isi perut, kematian
lalat yang kesesakkan nafas akibat disembur racun acid/Ridsect atau kematian
lalat hangus rentung akibat renjatan elektrik pada perangkap ultra violet.
Jarang sekali ku dengar berita kematian lalat akibat sakit tua. Berita di akhbar
itu memualkan aku. Kalian memang memualkan aku. Sehina-hina masyarakat aku,
masyarakat kalian lebih hina sebenarnya.
Sambil terbang, aku terfikir. Kenapa aku dituduh dengan
bermacam-macam tohmahan. Aku tidak pernah berak di atas badan kalian tetapi
kenapa titik-titik hitam ciptaan Tuhan itu dikatakan sebagai tahi aku? Ironinya,
bila tahi itu berada di penjuru bibir kalian dikatakan manis. Tapi bila ianya
berada di tempat yang tidak membuatkan kalian cantik, kalian menghina sehingga
ada yang sanggup membuat pembedahan membuang tahi lalat. Bukankah itu satu kurniaan
Tuhan?
Kenapa bila kalian pening-pening dikatakan sebagai
pening-pening aku? Dan kenapa juga aku dijadikan perumpamaan seperti lalat
langau mengerumuni bangkai? Kenapa aku? Jijik sangat kah aku?
Kadang-kadang aku pun ingin menjadi seperti burung.
Terbang tinggi membelah awan. Tapi aku tetap bersyukur dengan anugerah Tuhan.
Dengan sayap-sayap kecil ini aku belajar erti kehidupan kalian. Walau aku cuma mampu
hidup selama 40 hari tetapi sudah memadai untuk aku mengenal sifat kalian yang
bernama manusia. Tatkala kalian memperjudikan nyawa berlumba di atas jalanraya
dengan motosikal, aku cuba menghargai setiap hari hayatku dengan menghindari
kawasan kalian. Semakin ramai manusia di kawasan itu bermakna semakin tinggi
risiko kematian ku.
Cuaca panas terik memaksa aku berehat sebentar di sebuah
tingkap cermin sebuah bangunan. Kelihatan di dalam ramai manusia berpakaian
kemas sedang sibuk membuat kerja-kerja pejabat. Mata lalat ku terpandang pada sebuah
komputer yang terbuka dan seseorang sedang mengadapnya dengan penuh
konsentrasi. Aku cuba membaca apa yang terpapar pada skrin komputer berkenaan.
“ Ah~ blog Jalsaengginnamja, dengan terdapat sebuah
catatan Aku Seekor Lalat di penjuru atas skrin. Apa kejadahnya budak ni taip
pasal seekor lalat? Tak ada kerja lain kah? Boss dia tahu atau tidak yang dia
sedang berpura-pura bekerja? Apa dia tak sedar yang majikannya membayar gaji
dia untuk membuat kerja dan bukannya menulis blog pasal lalat. Budak intern
mungkin..” bisik hati lalat ku.
Manusia, manusia..
Mungkin dia musykil bagaimana kehidupan ku, atau dia cuba berfikir dari sudut seekor
lalat. Menarik sangat kah cerita seekor lalat? Entah lah.. Aku pun berpaling
untuk pergi meninggalkan situ. Tiba-tiba badan ku seakan direntap oleh sesuatu.
Sesuatu... yang... berlendir...
Sesuatu... yang... berlendir...
Lidah?..
Begitulah kisah ku sebagai seekor lalat. Aku terlalu asyik
memikirkan tentang manusia dan sikap mereka sehingga aku terlupa hukum alam
yang sebenar. Cuba mengelak sehabis baik dari kerakusan sifat manusia tapi ke
dalam mulut cicak jua akhirnya.
~Lalat~ (29/11/2016 – 6/12/2016)
**berdasarkan kisah sebenar.
No comments:
Post a Comment